5 Buku Aktivis Dakwah Wajib Baca!

0 comments

 

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلاً مِّمَّن دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحاً وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ


Maksudnya : Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah. (Fussilat, ayat 33)


وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ ۖ وَسَتُرَدُّونَ إِلَىٰ عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ


Maksudnya: “Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramalah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan" (At- Taubah ayat 105) 


Menjadi aktivis dakwah yang bekerja memanfaatkan segala keupayaan dirinya buat agama dan masyarakat memerlukan bekal yang cukup agar tidak mudah putus asa dan tetap bersabar atas apa jua mehnah dan tribulasi yang menimpanya.


Untuk itu, Kak Iman ingin cadangkan 5 buah buku yang perlu dimiliki dan dibaca oleh para aktivis dakwah. 


Supaya kita akan rasa lebih jelas dengan tujuan dakwah ini dan lebih bersemangat selepas membaca kelima-lima buku ini. 


Semoga ia membantu kalian pula.

 

1. Ar-Raheeq Al-Makhtum (Sirah lengkap Nabi Muhammad) oleh Syeikh Sofiyyurahman Al-Mubarakfuri


Siapa lagi yang harus menjadi idola atau model ikutan bagi kita para aktivis dakwah jika bukan Nabi Muhammad SAW? Dengan membaca buku ini, Kak Iman terasa lebih dekat apabila mengetahui kisah-kisah kehidupan Rasulullah. Ketika lebih mengenali Rasulullah SAW, kita akan lebih menghayati kisahnya dan mampu mencintai sunnahnya. Dan sunnah Rasulullah SAW yang terbesar adalah dakwah itu sendiri.  

 

2. Himpunan Risalah Imam Hassan Al-Banna 


Imam Hassan Al-Banna merupakan satu sosok yang tidak asing lagi bagi para aktivis dakwah. Kredibiliti dan qudwahnya memimpin dan menyusun Ikhwanul Muslimin menjadi sebutan sehingga hari ini. Buku ini memberikan pemahaman penting dan asas dalam memahami Islam serta dakwah itu sendiri. Buku ini merupakan himpunan segala pesan dan nasihat dari seorang rijal dakwah yang menjadikan Allah sebagai tujuan hidupnya. 

 

3. Apa Erti Saya Menggabungkan Diri dengan Dakwah oleh Muhammad Abduh

 

Menggabungkan diri dengan dakwah merupakan satu kemuliaan dalam Islam. 


Buku ini membahaskan isu seputar penggabungan diri aktivis dakwah dengan dakwah yang diyakini seperti kepentingan menggabungkan diri, pra syarat dan persediaan, dan bagaimana seorang aktivis dakwah ingin menggabungkan hati dan perasannya, akal dan pemikirannya, organisasi dan gerakannya terhadap dakwah.  

 

4. Modul Tarbiyah Islamiah 1 & 2 oleh UC Books

 

Buku tebal ini menggabungkan isi-isi penting dari beberapa buah buku asas untuk pemahaman para aktivis dakwah. 


Antaranya bukunya adalah Tafsir pilihan Al-Wadhih Juz 29 & 30, Hadis-hadis pilihan Al-Adab, Tauhid Al-Zindani, Sirah Nabi Muhammad Mustafa As-Syibaie, 65 Gambaran Kehidupan Sahabat, Mukaddimah Tafsir fi Zhilal Qura’n dan Hadis Arba’in. Buku ini menjadi pilihan Kak Iman kerana ia mudah untuk dibawa ke mana-mana bagi kegunaan dalam usrah dan juga ia telah disusun mengikut keperluan para aktivis dakwah.

 

5. Da’i Disruptor oleh Muharikah




Buku ini bukan setakat membincangkan peribadi da'i disruptor tapi turut membawa Kak Iman kembali merenung berkaitan mindset, amal dakwah dan usrah yang dilalui saban minggu. 


Sejauh mana ia memberi kesan dan terus kekal relavan untuk generasi demi generasi. Buah fikiran yang dilontarkan begitu membumi. Bukan setakat mendatangkan persoalan, penulis turut berkongsi rekomendasi solusi dan penyelesaian. 


Membaca buku ini membuat Kak Iman bertekad untuk berhenti mengeluh tapi terus berbuat dan berbuat.


Sekian, perkongsian kali ini. Moga membantu buat para aktivis dakwah sekalian untuk terus tetap dengan tujuan. Tidak berputus asa di jalan dakwah ini. Jadikanlah dakwah sebati dalam peribadi kita. Ia merupakan jual beli yang takkan pernah rugi yang Allah sebutkan di dalam al-Quran.



يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ هَلۡ أَدُلُّكُمۡ عَلَىٰ تِجَـٰرَةٍ۬ تُنجِيكُم مِّنۡ عَذَابٍ أَلِيم . تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَتُجَـٰهِدُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ بِأَمۡوَٲلِكُمۡ وَأَنفُسِكُمۡ‌ۚ ذَٲلِكُمۡ خَيۡرٌ۬ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ


Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (As-Saff ayat 10-11)

  

Sekian dulu untuk kali ini.

Leave a comment

All blog comments are checked prior to publishing
You have successfully subscribed!
This email has been registered