Sepanjang zaman, membaca sering dikaitkan dengan ilmu dan kebijaksanaan. Walaupun pada zaman ini, ilmu dan maklumat bukan sahaja boleh didapati daripada buku, tetapi membaca masih lagi releven sebagai simbol kebijaksanaan.

Lihat sahaja nama-nama seperti Sultan Dr Nazrin Muizzuddin Shah, Tun Dr Mahathir, Prof Diraja Ungku Abdul Aziz, Pendita Za’ba, A. Samad Said dan ramai lagi tokoh-tokoh terkemuka baik dalam negara ataupun di luar yang dikenali sebagai pencinta buku.

Kejayaan mereka yang menginsiprasikan masyarakat tidak mungkin terjadi sekiranya tidak kerana ‘keghairahan’ mereka terhadap buku dan dunia membaca.

“Not all readers are leaders, but all leaders are readers.” – Harry S. Truman

Melalui buku dan membaca individu yang bermula sebagai orang biasa yang tak punya apa-apa menjadi somebody dalam masyarakat, meninggalkan legasi yang positif serta menyebarkan manfaat.

Kita sering mengeluh kesuntukan masa yang menjadi penyebab untuk tidak membaca buku. Ironinya, untuk sosial media, bermain game dan melepak masa tidak pula menjadi permasalahannya.

Cuba gantikan buku dengan habit yang kurang sihat tersebut. Ataupun sekurangnya, peruntukkan satu masa untuk membaca.

Buku memiliki keunikan, keunggulan dan keanehan tersendiri dan perlu diterokai. Dan orang yang gemar membaca buku bukan bermakna dia seorang yang tidak pandai bersosial. Malah, orang yang banyak membaca buku lah yang boleh menjana lebih banyak idea apabila berborak.

Dengan siapa sahaja dia berhadapan, sama ada mahasiswa universiti, pakcik makcik di kampong mahupun kanak-kanak, pasti ada isu atau perihal yang boleh menjadi modal untuk mula bersembang.

Kerana bagi seorang penggemar buku yang sejati, mereka adalah pembaca buku rentas disiplin ilmu. Walaupun mungkin ada beberapa tema yang menjadi kegemaran, seorang pembaca buku tidak dapat elak daripada mencari dan membaca buku yang mengandungi tema yang berbeza.

Sebagai contoh, seorang pembaca buku yang minat dengan buku-buku berkaitan bisnes dan pemasaran, tidak mustahil juga sebenarnya minat membaca novel dan prosa seperti puisi. Kerana pada tahap ini, seorang pencinta buku bukan lagi membaca hanya untuk mengisi masa lapang, tetapi membaca untuk mengasah daya fikir dan menenteramkan jiwa.

Oleh itu, cubalah sedaya upaya untuk mula mencintai buku. Dahulukan dengan buku yang nipis, ringan mesejnya agar dapat dihabiskan dalam masa yang cepat. Ini sebagai motivasi untuk lebih banyak membaca.

Apabila ke mana-mana sahaja, pastikan anda bawa satu atau dua buah buku sebagai bekalan. Bila ada ruang dan masa, bacalah. Walaupun kadangkala anda tidak ada kesempatan untuk membaca pun. Jadikan bawa buku ke mana-mana sebagai habit yang baru.

.

.

.