Kita semua pernah mengalami fasa-fasa tertekan dalam hidup kita.

Dan sekalipun anda tidak pernah mengalaminya sebelum ini, percayalah, momen itu pasti akan hadir nanti.

Hari-hari yang dilalui terasa sempit dan menyesakkan. Berpagi-pagi untuk ke tempat kerja atau dewan kuliah terasa tersangatlah berat. Semuanya serba tak kena. Akan ada saja salah orang yang akan menjengkelkan kita. Rasa nak marah semua orang!

Dan situasi tekanan ini hadir dalam pelbagai bentuk dan rupa berbeza pada setiap individu. Ada yang lebih ekspresif seperti cepat marah dan ada pula yang lebih represif atau mendiam apabila tertekan, dan ini yang lebih bahaya.

Jadi anda perlu sedar dan akui, sekiranya anda mengalami symptom yang dinyatakan di atas, anda sebenarnya sedang dalam keadaan tertekan. Seterusnya, apa yang harus dilakukan setelah mengetahui diri dalam keadaan tertekan?

Setiap kali anda rasa tertekan dengan masalah, ingatkan diri anda, tidak ada yang kekal melainkan Allah. Begitu juga dengan masalah anda, satu hari nanti, mungkin tanpa anda sedar ia berlalu pergi dengan sendiri. Seperti mana datangnya malam menutup cahaya siang, pelangi petang yang menggantikan hujan panas, maka begitu juga masalah anda. Sabar dan terus berdoa.

Cari aktiviti yang boleh distract anda daripada perasaan tertekan tersebut. Mungkin menonton movie, beriadah atau membaca novel. Seteruk apa sekalipun tekanan tersebut, percayalah, tidak ada seorang pun di dunia ini yang tertekan 24 jam sehari. Pasti ada masa-masa dia ketawa bergembira. Jadi sentiada ingatkan diri anda, situasi ini tidak akan lama.

Seterusnya keluarlah bersosial. Dengan keluarga, rakan, atau usrahmate. Elakkan bersendirian!

Sebelum itu pastikan, mereka yang anda luangkan masa bersama itu mempunyai pengaruh yang baik, bukan dari kalangan mereka yang akan merosakkan anda dengan rokok, perlumbaan haram malah dadah. Kerana dengan merokok atau mengambil dadah, bukan sahaja masalah anda tidak selesai bahkan menambah masalah lain pula.

Sebenarnya kalau diperhatikan sirah, Nabi Muhammad SAW sendiri pernah merasa tertekan sebagaimana manusia biasa. Tertekan dengan cemuhan dan tindakan kaum Quraisy terhadap dakwah Baginda. Tertekan kerana sudah berbulan lamanya wahyu Allah tidak turun, sampaikan baginda rasa dirinya tidak diperlukan lagi untuk berdakwah.

Lalu turunlah surah Dhuha, seolah-olah memujuk hati Baginda.

“(Bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu, dan Ia tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik).” (Surah Dhuha : 3)

Lebih menarik, Allah turut mengajarkan kepada Nabi bagaiamana harus seseorang itu menghadapi tekanan dan perasaan dukacita pada ayat keenam hingga ke penghujung surah.

Apabila kita berada dalam keadaan yang sukar, Allah memerintahkan untuk kita melihat kepada dua perkara.

Pertama, ingat kembali, bagaimana keadaan kita sebelum ini. Keadaan yang mana kita rasakan paling tertekan sehingga hampir rasa putus asa dengan kehidupan. Hidup terasa gelap gelita. Kemudian, secara perlahan-lahan, sedikit demi sedikit kita mula menemukan setitik cahaya di pengujung jalan yang kemudian semakin membesar dan akhirnya kita berjaya keluar daripada masalah itu.

Jadi bukankah akhirnya Allah berikan jalan keluar kepada kita? Jadi teruskanlah percaya dan bersangka baik dengan Allah, tidak pernah sedetikpun Dia tinggalkan kita berseorangan.

Kedua, lihat mereka yang lebih sukar dan bernasib lebih teruk daripada kita. Ini kerana, seringkali kita tertekan ditimpa masalah, kita merasakan, dunia kitalah yang paling celaka, paling malang dan paling gelap. Gelap sehingga membutakan mata untuk kita melihat, bahawa di luar sana sebenarnya lebih ramai yang tertekan menderita masalah yang lebih maha dahsyatnya berbanding masalah kita.

Allah secara specifik menyebutkan dua golongan ini yang perlu disantuni sebaiknya. Golongan anak yatim dan mereka yang meminta sedekah.

Bergaullah dengan dua golongan ini, meskipun pada waktu itu anda sedang tertekan mahupun berduka. Kerana daripada pergaulan ini anda akan dapati masalah yang anda hadapi tidaklah seberat masalah mereka.

Kesimpulannya, tertekan tidak akan berpanjangan sekiranya anda tahu mengurusnya. Ia bukan tanda anda seorang yang lemah melainkan ianya adalah ciri-ciri seorang manusia yang normal. Tidak perlu malu atau takut. Hadapinya dengan tenang!

#itsokay 👌

.

.

.