Tekanan.

Tiada manusia yang masih hidup di atas muka bumi ini yang tidak menghadapi tekanan. Lebih tepat, tekanan-lah yang membuatkan kita masih lagi bernafas, jantung tetap berdegup dan terus hidup. Sebagai contoh dalam ilmu biologi, tekanan darah yang tepat dalam jantung dan juga dalam pembuluh darah membolehkan seluruh tubuh kita menerima bekalan yang mencukupi.

Bahkan, jika difikir-fikir balik, tanpa tekanan manusia mungkin tidak menjadi manusia. Kerana manusia dibebankan dengan tuntutan yang perlu dipenuhi. Dan akibat tuntutan yang semakin banyak sehingga tidak terkawal lagi bebannya akhirnya akan menyebabkan tekanan semakin bertambah.

Ada orang yang memang boleh menerima tekanan yang banyak, atau mungkin bahkan lebih produktif pula bila semakin banyak tekanan. Tetapi perlu diingat ada juga mereka yang tidak mempunyai ‘threshold’ tekanan yang tinggi.

Sebagai contoh, ada orang yang walaupun bersedih atas kematian ahli keluarga, tetapi masih boleh berfikir rasional dan menjalani kehidupan normal selepas beberapa fasa berduka.

Dan juga ada pula orang yang akan sangat terkesan atas kematian tersebut, sehingga kehidupan mereka tidak teratur, miserable. Orang sebegini mudah untuk kita kenalpasti masalah mereka. Yang lebih berbahaya adalah mereka yang sangat ‘bijak’ menyembunyikan depresi mereka. Apabila bersama, tidak menunjukkan tanda-tanda depresi, tetapi bila sendiri sampai ke tahap cuba membunuh diri!

Jadi anda sebagai seorang anggota masyarakat, apa tindakan terbaik yang boleh anda lakukan untuk membantu golongan yang mengalami tekanan sebegini?

Melalui Detour, walaupun disampaikan dalam wacana santai melalui novel, Dr Raudhah secara tidak langsung telah mengajar kita bagaimana harusnya berhadapan dengan mereka.

Walaubagaimanpun perlu diingat, Dr Raudhah sendiri sedang menghadapi tekanan dan masalah beliau sendiri, tetapi ia tidak menghalang beliau untuk membantu orang lain yang menghadapi tekanan yang lebih teruk (pada beliau).

1) Jangan persoalkan usaha mereka untuk berubah dan jangan menghukum

Kualiti pemuda Islam yang ada pada Amir Talhah selain ‘mencairkan’ hati Dr Raudhah, juga menjadi asbab utama kepada beliau untuk terus berharap agar pemuda itu berubah menjadi lebih kuat untuk dirinya dan juga umat. Kerana pemuda seperti Talhah, sekiranya dapat berfungsi secara optimum akan sangat menguntungkan ummah.

Dr. Raudhah percaya, di sebalik tekanan yang sedang dihadapi Talhah, beliau sedang bertempur dengan dirinya sendiri, untuk menjadi yang lebih baik. Raudhah meraikan sisi kelebihan dan strongpoint Talhah, iaitu menginspirasikan orang lain melalui tulisan dan ceramahnya.

Seterusnya, jangan sesekali cepat menghukum.

Kepada sesiapa pun, apatah lagi kepada mereka yang menghadapi masalah tekanan. Dari Detour juga kita lihat bagaimana Raudhah dengan cara paling halus cuba mengorek cerita di sebalik luka torehan pisau di pergelangan tangan Talhah walaupun akhirnya tidak berjaya.

Menariknya, Raudhah tidak mudah judgemental. Beliau yakin pasti ada kisah yang cuba disembunyikan Talhah.

 

2) Jangan sesekali buat mereka rasa bersalah

Satu kesilapan besar yang seharusnya dielakkan adalah membuatkan mereka yang mengalami tekanan ini semakin rasa bersalah. Anda harus tahu, mereka sendiri telah pun merasa bersalah, tidak berguna dan menyusahkan orang lain, tidak perlu anda pula yang menjadikan keadaan lebih teruk.

Dalam Detour, Talhah berubah daripada seorang yang komited dengan usrah kepada seorang yang anti kepada usrah dan bencikan mereka yang komited dengannya. Semuanya gara-gara ahli usrahnya yang pernah mengumpat dan menghina Talhah kerana tattoo yang ada padanya.

Akhirnya Talhah semakin menjauh daripada anasir kebaikan. Adakah masalah selesai?

Banyak lagi plot dan scene santai yang dihidangkan dalam Detour mengajar kita secara tidak langsung bagaimana kita harus berhadapan dengan mereka yang menghadapi tekanan.

Ingatlah, walaupun kita tidak pernah melihat orang yang mengalami tekanan yang teruk, tidak bermakna mereka tidak ada. Cuma mungkin kita yang tidak cukup prihatin.

.

.