.

Menjadi seorang wanita berkerjaya pastinya tidak mudah. Bayangkan sahaja seorang ibu atau isteri yang telah sedia banyak tanggunggjawabnya di rumah, kemudian di tempat kerja pula merupakan orang penting dalam organisasi. Malah tidak kurang wanita yang menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.

Bagi mencetuskan inspirasi buat seluruh wanita di dunia, tahun lalu Fortune, salah satu majalah bisnes yang paling berprestij di dunia telah menyenaraikan 50 orang wanita yang berjaya dalam bidang yang diceburi.

Daripada 50 wanita tersebut, World Economic Forum (WEF) telah menerbitkan pula lima nasihat kerjaya yang mereka kongsikan khusus bagi wanita yang mahu mengikut jejak langkah mereka.

Menjadi diri sendiri

Karen Lynch, presiden Aetna, sebuah syarikat pengurusan kesihatan di Amerika Syarikat pernah disuruh untuk tidak memakai pakaian berwarna merah jambu (pink) di pejabat semata-mata kerana warna tersebut menyerlahkan sisi feminine yang mana menjadi nilai tolak dalam kerjaya.

Tanpa menghiraukan saranan tersebut, Karen jujur dan percaya pada kemampuan dirinya dan tidak bergantung kepada penampilan luaran. Beliau tetap memakai pink untuk ke pejabat.

Begitu juga nasihat daripada Leanne Caret, presiden dan CEO Boeing, sebuah syarikat di Amerika yang berkaitan pertahanan ketenteraan dan keselamatan udara (Defense, Space & Security). Kata beliau, di mana jua diri anda berada, jangan sesekali lupa dari mana dan siapa diri anda yang sebenar.

Yakin terhadap diri sendiri

Wanita selalunya, teragak-agak bila hendak melakukan sesuatu, disebabkan oleh keyakinan diri yang kurang, sehingga terlalu lama berhenti dan berfikir mengenai risiko melakukannya. Berbeza dengan lelaki yang lebih semberono.

Tambah Kathleen Murphy, bila berlaku kesilapan, dari situ datangnya pelajaran. Beliau merupakan Presiden bagi Personal Investing di Fidelity Investments, sebuah syarikat pengurusan kewangan.

Menurut Susan Wojcicki, CEO YouTube dan Google/Alphabet, jangan takut untuk luahkan apa yang ada dalam minda.

Terbuka untuk pertimbangkan peluang baru

Jangan takut untuk menerima cabaran baru. Meskipun anda tidak pasti adakah anda sudah bersedia atau tidak untuk cabaran itu. Kerana bagi Sheryl Sandberg, COO Facebook, boleh jadi dari cabaran tersebut, datang peluang lain yang mungkin anda tidak pernah jangka.

Ginni Rometty, pengerusi, president, dan juga CEO, IBM sebuah syarikat teknologi yang terkemuka turut menasihatkan perkara yang sama. Kata beliau, kita perlu sentiasa sensitive dan bersedia mengesan pertumbuhan peluang yang ada di depan mata kita. Kerana seringkali orang terlepas pandang peluang yang ada.

Berdampingan dengan orang yang positif dan bijak

Bagi sesetengah majikan, mereka takut untuk mengambil pekerja yang lebih bijak daripada mereka. Tetapi tidak bagi Judith McKenna, COO Walmart Amerika Syarikat. Beliau malah menyarankan untuk mengambil pekerja yang lebih bijak dan baik daripada diri anda sendiri bagi membentuk sebuah pasukan yang terbaik.

Jalani hidup yang seimbang

Sekiranya anda mampu menjadikan rutin harian anda sebagai sumber pendapatan dan kerjaya, anda mungkin tidak perlu risaukan lagi tentang keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan peribadi. Ini menurut Michele Buck, presiden dan CEO, Hershey.

Tetapi hakikatnya tidak semua yang mampu sebegitu. Oleh itu sentiasa pilih keutamaan anda. Kerana apa yang anda rancang hari ini, besar kemungkinan akan berubah beberapa tahun akan datang.

.

.

Sukakan konten sebegini? Subscribe newsletter #kurasaiman di sini

.