Jika anda terlost in touch dengan berita buku Iman, pada 27 Januari 2018 semasa Lepak Bersama Iman di Imanshoppe, Serdang. kami telah melancarkan buku terbaru dari Iman Publication yang bertajuk, Detour. 

Buku Detour ini, yang ditulis oleh Raudhatul Hifza (penulis novel baru) merupakan Dwilogi Hiatus yang ditulis oleh Budak Tomato. Jika anda masih lagi tertanya-tanya kenapa perlu membaca buku Hiatus & Detour ini, kami ingin kongsikan 4 SEBAB:

1. Tema Depresi yang diangkat daripada kedua-dua buku ini disuluh pada sisi pandang yang sedikit berbeza.

Streotyping yang sering terjadi dalam masyarakat kita berkenaan depresi mesti terkait dengan kegagalan hidup, masalah kewangan, masalah dalam pelajaran ataupun berkaitan dengan keretakan hubungan dalam kehidupan berkeluarga. Tetapi Amir Talhah boleh dikatakan hampir sempurna.

Dikurniakan sosok wajah yang tampan, daripada latarbelakang keluarga yang berada dan merupakan antara pelajar terbaik di dalam kelasnya. Hampir tiada sebab yang konkrit untuk beliau menghidapi depresi yang kronik. Pernah sampai ke tahap membunuh diri sendiri! Lebih malang, keluarganya sendiri tidak mengetahui masalahnya itu.


(Sumber : Instagram Budak Tomato)

Inilah realiti sebenar mereka yang mengalami depresi.

Mereka sebenarnya mungkin ada dalam kalangan keluarga dan rakan terdekat kita. Cuma hanya kita yang terhalang daripada mengenalpasti masalah mereka. Kerana pada zahirnya kita lihat merekat sihat dan bahagia.

2. Watak Utama, Amir Talhah.

Masih lagi berputar sekitar watak utama Amir Talhah, beliau beruntung. Meskipun menjadi anak yatim di usia yang tersangat muda, Tuan Ahmad serta Puan Nusaybah yang menjadi ibubapa angkatnya telah memberikan pendidikan yang terbaik buat Talhah. Baik akademik mahupun pendidikan agama. Ini dapat dilihat pada kedudukan beliau yang kini berada di tahun akhir kuliah perubatan di Universiti Sharjah, United Emirates Arab (UAE) dalam masa sama memegang gelaran al-Hafiz.

Menariknya penulis cuba membawa pembaca melihat sisi terlindung terhadap oreantasi pendidikan agama hari ini. Tidak sedikit ibubapa yang berlumba-lumba untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah pondok/agama supaya cepat menghafaz al-Quran.

Anak-anak yang menghafaz al-Quran ibarat trofi ibubapa. Hasilnya, hafazan yang melekat di dada anak-anak gagal menjadi penyuluh menjalani kehidupan.


(Sumber: Instagram Budak Tomato)

Pada kita mungkin tidak masuk akal, seseorang yang hafaz al-Quran untuk minum arak, berpesta dan bertukar-tukar pasangan hampir setiap minggu. Tapi sedarlah ianya bukan mustahil. Cerita Amir Talhah tidak mustahil benar terjadi walaupun tetap saja ada kemungkinan rekaan fiksi semata.

3. Realiti sebenar Orang Usrah

Usrah adalah antara jalan terbaik untuk berubah menjadi lebih baik. Usrah juga antara cara terbaik untuk berdakwah dan memberi manfaat kepada masyarakat secara bersistem. Dikendalikan oleh manusia yang taksunyi dari salah dan silap, tentunya sedikit sebanyak tercerminkan pada usrah serta ahlinya.

Cerita Talhah mencucuh tattoo pada badannya sekejap sahaja menjadi bualan ahli usrah yang diikutinya. Dicemuh dan dicaci, Amir Talhah seperti langsung tidak diberi ruang oleh ahli usrahnya untuk bertaubat dan berubah. Insiden ini meninggalkan kesan yang mendalam kepada Talhah, sehingga dia benci benar kepada ‘orang usrah’ sehinggalah dia bertemu Dr. Raudhah.


(Sumber : Instagram Raudhahtul Hifza)

Jadi ya, orang usrah juga tidak suci dan maksum. Dalam ramai-ramai yang anda lihat komited dengan program usrah pasti ada segelintir yang begitu. Tetapi percayalah, ramai lagi yang ‘ok’. Sekiranya anda (pernah) yang rasa ‘terhukum’ oleh orang-orang usrah yang suka menghukum, jangan anda pula dengan mudah menghukum semua orang usrah itu pun begitu.

4. Cinta.

Sesebuah cerita pasti tidak lengkap jika tidak disajikan bersama elemen cinta. Dari jentikan rasa yang Talhah dan Raudhah alami pada pertemuan singkat mereka, di sana ada respon atau tindak balas mereka yang boleh kita ambil manfaat. Masing-masing merasakan sesuatu, tetapi akal rasional dan iman masih lagi membimbing dan menjadi pagar penghalang maksiat.

Hal ini jelas boleh dilihat dalam watak Raudhah. Hatinya yang sebolehnya menafikan perasaan itu, tidak gagal menemukan alasan demi alasan untuk mematikan perasaan itu. Dari jarak umur yang terlalu jauh berbeza, perwatakan Talhah yang bukan seperti lelaki idamannya termasuklah trauma terhadap lelaki yang masih lagi menghantuinya. Keputusan Raudhah untuk berdiam diri tidak memulakan apa-apa langkah ternyata tidak dapat menghentikan nyalaan perasaan yang memang tidak mampu dinafikan telah ada.

Ditambah pula mesej-mesej dari Talhah yang seolah-olah memberi harapan kepada perasaan Raudhah. Namun prinsip Raudhah jelas dan tegas. Meskipun fitrah nalurinya sangat gembira apabila mengetahui perasaannya bukan tidak bersahutan, tetap dia berpegang teguh dengan prinsip.

“ Sekiranya Talhah serius, datanglah bertemu ibubapa saya. ”

 

Jika anda berminat untuk dapatkan buku Hiatus dan juga Detour, boleh klik gambar di bawah.