.

Pendakwah adalah mereka yang menggalas tugas para anbiya. Kerana beratnya beban ini, setiap pendakwah harus sentiasa bersiap-sedia dengan bekalan yang secukupnya dalam menghadapi perjalanan yang panjang ini.

Berikut merupakan bekalan yang wajib bagi setiap daie persiapkan. Kerana dengan mengabaikan bekalan ini, telah ramai daie yang akhirnya kecundang sama ada ditipu arus duniawi ataupu kepenatan dengan ujian yang mendatang.

.

Mengingati Allah

“…dan sebutlah serta ingatilah Allah (dengan doa) banyak-banyak, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan).” Surah al-Anfal 8 : 45

Golongan pendakwah haruslah menjadi orang yang paling banyak mengingati Allah. Paginya dibuka dengan zikirullah dan malamnya ditutup juga dengan zikrullah.

Jika para pendakwah menjadikan Allah SWT sebagai pendampingnya, sudah pasti dia adalah manusia yang layak mendapat kemenangan dan pertolongan daripada Allah SWT.

Dengan zikrullah ini, para pendakwah akan rasa sentiasa bersama dengan Allah SWT.

Amatlah malang pendakwah yang sedikit zikrullahnya, tetapi tidak malu untuk mengajak dan menyuruh masyarakat mengingati Allah. Siapa yang akan mendengar dakwah daripada daie ini?

.

Bersabar

Dalam dunia yang penuh dengan fitnah hari ini, mungkin sabar adalah antara kunci yang telah hilang daripada dada orang mukmin.

Kerana tidak sabar, seorang suami menceraikan isterinya. Kerana tidak sabar seorang anak berani memukul ibunya. Dan entah berapa banyak kesabaran yang hilang hingga berleluasanya fitnah pada hari ini.

Bahkan mungkin kerana kurang sabar jugalah yang membuatkan sebahagian pendakwah kita yang menghukum masyarakat yang berdosa sehingga seolah tiada jalan keluar buat mereka.

Kembalilah merenung ayat Allah.

“…dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.” Surah al-Anfal 8 : 46.

Jika pendakwah seorang yang tidak sabar, pendakwah akan dihinggap perasaan putus asa serta malas terhadap orang yang didakwahnya. Pendakwah perlu sabar dalam mengajak manusia taat kepada perintah Allah dan menjauhi segala larangannya.

.

Ikhlas beramal

Mungkin bekalan ini antara yang paling sukar dipersiapkan pendakwah. Kerana cabarannya adalah tidak berpenghujung. Bahkan sampai mati. Syaitan pasti ada jalan untuk membuatkan para pendakwah merasa hebat dengan kerja dakwah mereka sehingga akhirnya mereka riak.

Oleh kerana sukarnya untuk ikhlas, para pendakwah digalakkan sentiasa beristighfar dan memuhasabah diri agar setiap amal dakwah yang dilakukan bersih daripada niat selain kerana Allah.

“Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang keluar dari negerinya dengan berlagak sombong dan menunjuk-nunjuk (kekuatan mereka) kepada orang ramai (kerana hendak meminta dipuji), serta mereka pula menghalang manusia dari jalan Allah dan (ingatlah) Allah Maha Meliputi pengetahuanNya akan apa yang mereka kerjakan.” Surah al-Anfal 8 : 47

.

Memperbanyakkan bacaan

Pendakwah yang kompeten adalah pendakwah yang luas ilmu pengetahuannya dan banyak bahan bacaannya. Hampir kesemua pendakwah yang hebat mempunyai perpustakaan mini di rumah masing-masing. Ia sebagai simbol kecintaan mereka kepada buku dan ilmu.

Oleh itu, buku sepatutnya menjadi sebahagian daripada kehidupan pendakwah. Membeli buku tidak sepatutnya dikategorikan sebagai membazir kerana ia adalah asset bagi seorang pendakwah. Beli dan bacalah buku sebanyak yang boleh.

Bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) pada hujung bulan ini, Imanshoppe tidak ketinggalan menghidupkan lagi sambutan pesta buku terbesar di Malaysia ini dengan menyajikan promosi diskaun buku-buku berkaitan tarbiyah dan dakwah di Imanshoppe.

.